Monday, 5 December 2011
LANGKAH PENYELESAIAN
1. Antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah dengan mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Antaranya ialah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, Polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebur bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan si penjenayah dari melakukan akiviti mereka dan seterusnya mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat.
2. Bantuan daripada alat-alat teknologi pada zaman kini dapat membantu kita menyempurnakan konsep bandar dan pekan selamat. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan tersebut.
3. Pengenalan semula mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara untuk membanteras kes jenayah. Mata pelajaran PSK ini merupakan satu langkah ke arah membentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula mata pelajaran ini, seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara
4. Selain itu, kerajaan juga boleh memperkasakan ekonomi negara bagi meningkatkan peluang pekerjaan. Bagaimana isu ini dikatakan menjadi usaha untuk mencegah jenayah yang sedang kita bincangkan ? Dengan usaha kerajaan ini, peluang pekerjaan untuk pemuda-pemudi tiang negara dapat ditingkatkan. Perkara ini dikatakan dapat mencegah jenayah kerana antara faktor seseorang melibatkan diri dalam kancah jenayah ialah kerana gagal mendapatkan pekerjaan bagi menampung hidup. Oleh itu, mereka mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam jenayah seperti kongsi gelap, pengedaran dadah, perompak, dan sebagainya.
5. Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah juga boleh diadakan di setiap sekolah dan kawasan-kawasan awam. Pelbagai kempen yang kebiasaannya diadakan mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan para remaja terutamanya peringkat sekolah rendah. Hal ini demikian kerana pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada pesalah.
6. Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial juga merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah yang semakin berleluasa ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ), Skim Lencana Anti Dadah (SLAD), Unit Khidmat Masyarakat dan lain-lain merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan.Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan pelajar untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kegiatan-kegiatan jenayah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja seperti gangsterisme, vandalisme dan buli didapati semakin merosot sejurus selepas penubuhan kelab-kalab bersifat antijenayah sosial ini.
7. Mengadakan kawalan jalan raya terutamanya pada waktu malam untuk mengawasi keadaan jalan raya supaya tiada sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang berlaku seperti lumba haram. Tindakan ini sememangnya wajar dilakukan agar kegiatan jenayah lain dapat dielakkan. Lama-kelamaan, mat-mat rempit enggan berlumba secara haram kerana takut akan tindakan yang bakal diambil oleh pihak berkuasa.
8. Langkah untuk mencegah rasuah pula ialah dengan mewujudkan satu mahkamah khas bagi mendengar dan membicarakan kes rasuah yang berlaku di negara ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan membanteras rasuah dan penyelewengan sehingga ke akar umbi.
Posted by Khidmat Masyarakat K3 at 08:24
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment